Apr 23, 2009

Akhlak : Perbahasan dan Kenikmatannya 1

bismillah,

Dalam kehidupan seharian kita seringkali tidak lari daripada permasalahan tabiat, gaya hidup, sosialiti, moraliti, dan lain-lain lagi. Islam, suatu agama yang bukan setakat agama bahkan diertikan lagi sebagai suatu ajaran yang mengajar sistem kehidupan. Sistem kehidupan yang sejahtera dan abadi. Sistem yang mampu membawa kepada kebahagiaan dunia sejagatnya.

Masalah yang saya ingin bawakan kali ini bukanlah suatu masalah sebenarnya, ianya adalah suatu perbincangan yang saya ingin kongsikan dengan para pembaca sekalian. Semester ini yang bermula pada 8 Februari lepas, saya telah mendaftar satu subjek yang diberi nama Akhlak Pendakwah dan Adab-adabnya. Subjek ini memperkenalkan dan menanamkan kefahaman dan kepentingan akhlak yang sepatutnya wujud dalam diri setiap individu muslim. Oleh yang demikian, perbincangan pada kali ini bertujuan perkongsian terhadap apa yang saya perolehi daripada apa yang saya pelajari di bangku menara gading ini.

1) Kefahaman akhlak islam dan perincian-perinciannya.

Tidak mungkin untuk memahami akhlak ini tanpa melihat kepada skop perbincangannya iaitu ;

· Dari segi penentuan ruang lingkup tarbiyah akhlak itu dan medan-medan untuk melaksanakan pendidikan yang mana ia merangkumi nilai akhlak itu kesemuanya.

· Didikan akhlak akan memberi kesan bergantung kepada sejauh mana perhubungan akhlak itu dengan tabiat individu dan juga sejauh mana peranan tarbiyah itu dalam mengadili atau menghukum tabiat individu di mana perkara-perkara ini bertujuan untuk menambahkan kesediaan untuk berakhlak dengan akhlak islam dan berusaha mencapai kesempurnaan seperti yang dikehendaki.

· Secara umumnya, perhubungan antara akhlak dengan tarbiyah itu akan kelihatan melalui unsur-unsur tarbiyah yang dibawa oleh mereka yang melazimi dengan akhlak itu.

Kesemua perkara di atas ini menunjukkan kepada kita keperluan dalam membincangkan tentang kefahaman akhlak itu melalui definisinya daripada bahasa dan juga istilahnya di dalam islam.

Definisi dari segi bahasa ;

Perkataan akhlak ini membawa maksud kepada tabiat, maruah, dan cara hidup. Dalam kamu al-muhit, akhlak diertikan sebagai fitrah. Dan jika dilihat lagi dalam lisan al-arab ; sesungguhnya akhlak itu adalah semulajadi dan hakikatnya ialah akhlak itu adalah sifat yang menggambarkan batin individu itu dan juga dirinya, dan sifat-sifatnya itu serta maksud yang tersirat itu akan tampak jelas pada kedudukan akhlak yang zahirnya. Dan bagi kedua-duanya itu (sifat dan maksud tersirat) ada bentuk yang baik dan juga bentuk yang buruknya.

Daripada maklumat di atas, dapat disimpulkan bahawa erti bagi akhlak itu ialah ;

· Akhlak menunjukkan kepada sifat yang semula jadi dalam fitrah penciptaan diri manusia dalam bentuk yang berterusan.

· Akhlak juga menunjukkan kepada sifat-sifat yang diperolehi dan berubah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seperti beragama dan kemudiannya berubah juga menjadi akhlak dan tabiatnya atau dikatakan sebagai tabiat kedua (tabiat asalnya ialah apa yang ada pada diri dia sendiri).

· Akhlak itu ada dua sudut ; diri sendiri dan kehidupan. Maka tidak boleh sesekali mengenepikan kedua-dua sudut ini dalam mendidik anak-anak.

Adapun kefahaman akhlak dari segi istilah para ilmuan, kita akan dapati terdapat perbezaan pendapat yang didasarkan kepada pembentukan yang berbeza. Antaranya, pembentukan masyarakat yang bertamadun.

· Seorang ilmuwan barat (Levy Breel), menyebutkan bahawa pembentukan ini dibina di atas tiga hujah atau makna terhadap perkataan akhlak itu sendiri iaitu;

> Perkataan akhlak membawa maksud kepada satu gagasan fikiran yang mengandungi idea-idea, hukum hakam, amalan-amalan adat dan kebiasaan yang menyambungkan hubungan sesama manusia dan memenuhi keperluan antara satu sama lain. Dan ianya diketahui dan dihadapi sendiri oleh individu-individu terbabit pada masa dan tamadun tertentu.

> Akhlak juga merujuk kepada ilmu yang mengajar sifat luaran seperti mana ilmu semula jadi atau ilmu berkenaan dengan tabiat semula jadi di mana ia dipelajari daripada tabiat itu sendiri. Inilah yang membezakan akhlak dengan ilmu-ilmu lain.

> Akhlak ini juga merujuk kepada ilmu yang memerlukan kepada aplikasi.

Dapatlah difahami bahawa sesiapa yang maju dalam akhlaknya maka akan majulah jua kehidupan kemasyarakatannya. Sebagai contoh, penambahan sifat adil, saling tolong menolong, keamanan, dan ketenangan dan apa-apa yang sewaktu dengannya.

· Selain itu, terdapat juga pembentukan melalui ikutan dan teladan. Ahli falsafah German (Kent) yang menyamakan pembentukan akhlak melalui cara ini dengan ilmu-ilmu keperluan. Maka, akhlak pada pembentukan ini adalah suatu peraturan yang asas dalam membentuk peribadi insan dan ianya didasarkan kepada penggunaan akal semata-mata.

· Terdapat juga pembentukan melalui persekitaran semula jadi. Falsafah barat cuba untuk mencari titik kesimpulan yang menunjukkan prinsip akhlak melalui pembentukan ini dan pada pandangan mereka akhlak adalah sebahagian sudut daripada pembentukan ini dengan mengatakan ianya adalah ilmu semula jadi yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Dan Hattsheson mengatakan bahawa sudut ini dibina melalui dua perasaan atau naluri iaitu naluri kesempurnaan dan naluri kebaikan. Maka, akhlak dan cara hidup dibina melalui perasaan sempurna dan baiknya sesuatu perkara itu.

· Akhirnya, agama Islam juga tidak lupa untuk melibatkan diri dalam perbahasan ini dengan membawa satu cara pembentukan yang lain. Ianya dinamakan pembentukan peribadi melalui pendidikan islam. Dan diantara mereka terdapat seorang ilmuwan (Ibn Maskawiyah) yang mengertikan akhlak sebagai ; "Keadaan individu yang menyeru dirinya untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa perlu berfikir dan pendapat." Keadaan ini dibahagikan kepada dua bahagian :

> Antaranya ialah segala apa perkara yang menjadi tabiat, asal datangnya daripada intipati individu terbabit. Sebagai contohnya, manusia mampu menggerakkan perasaan marah. Antara yang lainnya ialah, didapati daripada adat sekeliling dan didikan, berkemungkinan juga ianya daripada prinsip-prinsip berasaskan pandangan dan idea-idea yang kemudiaanya dilakukan berterusan sehingga akhlak itu menjadi miliknya.

> Imam Ghazali pula mengertikan akhlak ini sebagai ; "Akhlak ini ialah satu perkataan yang membawa maksud keadaan dalam diri individu yang tetap padanya untuk melakukan sesuatu perbuatan dengan mudah dan senang tanpa memerlukan kepada pemikiran dan pandangan. Maka, sekirannya keadaan diri seseorang itu semasa melakukan sesuatu perbuatan dan perbuatan itu adalah baik dan terpuji pada sisi akal dan syariat, dinamakan keadaan diri dia itu akhlak yang baik. Sekiranya perbuatan yang dilaksanakan itu adalah buruk dan keji pada akal dan syariat, maka dinamakan keadaan diri dia itu akhlak yang keji.

Dan hakikatnya ialah, akhlak secara umumnya ada yang baik dan ada yang buruk.

Berdasarkan kepada perbincangan berkenaan konsep dan teori-teori yang telah diperbahaskan sebentar tadi, dapatlah disimpulkan bahawa akhlak ialah ;

" Satu perkataan yang membawa maksud kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang tersusun dalam pembentukan cara hidup individu yang mana ia ditentukan sendiri berdasarkan wahyu bagi mengatur kehidupan manusia dengan aturan kehidupan yang sempurna. Ianya tidak lain tidak bukan bertujuan untuk membenarkan tujuan di atas kewujudannya (manusia) di atas muka bumi ini dalam bentuk kehidupan yang sempurna."

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home